KUALA LUMPUR: Pesawat Malaysia Airlines
penerbangan MH370 yang gagal dikesan sejak 8 Mac lalu disahkan hilang
di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berita itu dalam
satu sidang khas yang disiarkan secara langsung dari Pusat Dagangan
Dunita Putra (PWTC) malam tadi.
Kata Perdana Menteri, kedudukan
terakhir penerbangan MH370 itu didasarkan kepada maklumat daripada data
satelit yang diberikan oleh syarikat Britain, Inmarsat dan Bahagian
Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat
Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang
dikesan daripada pesawat itu.
"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah.
"Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan
bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di
selatan Lautan Hindi," kata Najib.
Sementara itu, MAS dalam
satu kenyataan memaklumkan akan terus memberikan bantuan dan sokongan
kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang terlibat seperti yang
ia lakukan sejak pesawat ini hilang.
MAS juga memaklumkan
operasi mencari dan siasatan menyeluruh akan diteruskan untuk mencari
jawapan kepada misteri kehilangan pesawat miliknya itu.
"Sekali
lagi, dengan rendah hati, ingatan, doa dan takziah kami untuk semua
yang terjejas dengan tragedi ini," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, Najib memberitahu satu sidang media akan diadakan pada Selasa dengan maklumat yang lebih lanjut.
"Pada masa ini, kami ingin memaklumkan kepada anda perkembangan terbaru
ini pada kesempatan yang terdekat. Kami berkongsi maklumat ini dengan
komitmen kepada keterbukaan dan rasa hormat kepada keluarga, dua prinsip
yang menggarisbawahi penyiasatan ini," katanya.
Menurut Najib lagi, Malaysia Airlines telah memaklumkan perkembangan baru ini kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal.
"Bagi mereka, beberapa minggu kebelakangan ini cukup menyedihkan; saya tahu berita tentunya lebih sedih lagi," katanya.
Najib juga menyeru kepada media untuk menghormati ruang peribadi ahli
keluarga yang terlibat dan memberikan kepada mereka ruang yang sangat
diperlukan pada masa yang sukar ini.
Pesawat penerbangan MH370
membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga
Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada
awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.
Siasatan awal mendapati pesawat yang hilang itu telah dilencongkan
dengan sengaja oleh seseorang yang memandunya. Bagaimanapun, pelbagai
spekulasi dan teori konspirasi timbul kerana sistem komunikasi dengan
pesawat itu terputus dan tiada bukti-bukti kukuh atau petunjuk mengenai
kehilangan pesawat itu.
Antara teori yang dikemukakan dalam
masa pencarian sepanjang 17 hari lalu oleh pakar dan penganalisis
penerbangan termasuk rampasan, sabotaj oleh juruterbang serta
kemungkinan pesawat itu mengalami masalah sehingga menyebabkan semua
anak kapalnya tidak sedarkan diri dan pesawat itu terbang sendiri
sehingga kehabisan minyak.
Pesawat penerbangan MH370 membuat
hubungan terakhir dengan pusat kawalan trafik udara semasa berada di
Laut China Selatan di sebuah kawasan yang terletak antara sempadan
Malaysia dan Vietnam. Ia kemudian dikesan berpatah balik dari laluan
asalnya dan terbang selama beberapa jam.
Usaha mengesan pesawat
itu kemudiannya digerakkan di dua jalur di sebelah utara yang menganjur
dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan sehingga ke utara Thailand
serta dari Indonesia sampai ke selatan Lautan Hindi.
Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/pesawat-mh370-disahkan-hilang-di-kawasan-selatan-lautan-hindi-32473?cp
No comments:
Post a Comment